Sunday 14 March 2021

Percutian keluarga di Houseboat Tasik Kenyir Terengganu (Ogos 2020)

Salam semua, kali ini nak share percutian keluarga kali ke-2 selepas PKP Covid19. Baru je balik dari Pulau Besar Mersing, dah rasa macam nak bercuti lagi. Kebetulan ada cuti Awal Muharram dan cuti sekolah so apa lagi, pantas lah cari port untuk bercuti.

Setelah berbincang, jom kita ke Tasik Kenyir naik houseboat pula. Teringat waktu naik houseboat di Tasik Daal Kashmir dulu-dulu tapi houseboat itu tak bergerak, ini houseboat Tasik Kenyir bergerak merentas tasik. Last minit cari nasib baik dapat juga houseboat yang kosong. Houseboat Tasik Kenyir ini limited dan selalu fullhouse so kena booking awal-awal tapi Alhamdullilah dapat juga kami walaupun sangat last minit (seminggu sebelum tarikh bercuti).

Kat mana Tasik Kenyir ni? Ini map Tasik Kenyir dari Mr Google. Besar kan Tasik Kenyir. Dulu waktu kecil pernah sekali pergi tengok empangan Tasik Kenyir waktu time hantar pengantin pakcik kahwin dengan orang Telemong.

Lokasi Tasik Kenyir

Houseboat dah ada jom kita cari penumpang-penumpang bot pula. Houseboat ini sesuai untuk 20-25 orang kalau kurang orang macam tak meriah dah seram pula. Cari punya cari siapa yang free dapatlah lebih kurang 17 orang keluarga Allahyarham Hj Rasidi join ke Kenyir nanti.

Pakej houseboat Kenyir ini kami ambil yang 2 hari 1 malam je sebab itu je time bot kosong dan kita test dulu best ke tak sebab takut pula boring lama-lama atas bot. Pakej yang untuk ke Kelah Santuari pun kami tak dapat sebab musim Covid19 ini government limitkan jumlah pelawat supaya tak sesak. Untuk berjumpa si kelah kena berjalan lebih kurang 2km pergi dan 2km balik baru jumpa tempat kelah beramai-ramai itu..takpe next time kita pergi.

Ini pakej houseboat yang kami ambil

Kami juga tak ambil pakej siap makan sebab rasa mahal pula. Baik masak sendiri je sebab peralatan memasak memang siap sedia atas bot so cuma bawa bahan mentah, rempah ratus dan bahan makanan secukup rasa. So kami dah perap bahan-bahan untuk buat BBQ nanti. Sampai bot tinggal bakar je.


Day 1 : Melaka - Dungun

Haa kenapa day 1 Melaka-Dungun? Bukan Tasik Kenyir ini dekat Kuala Berang ke? Jawapannya sebab homestay di Kuala Berang atau Kuala Terengganu semua penuh belaka. Nama pun last minit dah tiada yang kosong. Tapi Alhamdullilah dapat jugalah sebuah homestay di Dungun. Dungun pun bolehlah. Homestay di Dungun booking di Agoda. Musim peak season ini tak berani nak booking sebarangan takut kena scam naya nanti kena tidur dalam kereta.

Total 4 kereta dengan 17 peserta bertolak dari Melaka pagi itu lebih kurang pada jam 11 pagi selepas breakfast di kedai favorite iaitu nasi lemak roti canai ikan bakar. 3 kereta direct ke Terengganu dan 1 kereta singgah KL dulu ada urusan. Nanti semuanya akan berjumpa di Terengganu.

Breakfast dulu

Perjalanan agak lancar, bawa kereta pun santai-santai. Plan asal nak terus jalan-jalan ke Kuala Terengganu then malam baru balik tidur di homestay Dungun. Tapi memandangkan bertolak pun agak lewat kita terus ke Dungun je lah. Lebih kurang jam 3 petang dah start masuk area negeri Terengganu, perut pun dah rasa lapar jom kita cari ikan celup tepung. So on the way ke Dungun kita singgah dulu di Pantai Kemasik. Makan celup-celup tepung dan layan pantai terengganu yang memang cun itu.

Pantai Kemasik

Sebahagian peserta rombongan

Apa ada atas batu?

Lunch di warung celup tepung Pantai Kemasik

Ikan celup tepung (ICT)

Udang celup tepung

Selepas perut kenyang, kami terus je ke homestay. Check in dan berehat je sebab jauh perjalanan. Dinner pun tak rajin nak keluar so masak simple-simple. Ok good night, ke Tasik Kenyir kita esok.

Homestay di Dungun. Disambut oleh kucing-kucing


Day 2 : Dungun - Kuala Terengganu - Tasik Kenyir

Hari ke-2, kami check out homestay agak awal lebih kurang jam 8 pagi sebab kononnya nak breakfast Nasi Dagang Atas Tol Kuala Terengganu yang famous itu. Lebih kurang sejam perjalanan tibalah kami di kedai Nasi Dagang Atas Tol tapi ramai nya orang, so cari kedai lain lah makan. Tapi Alhamdullilah dapat juga kami tapau 4 bungkus nasi dagang atas tol itu untuk merasa boleh lah share-share. Memang sedap nasi dagang dia.

Ramai orang & beratur panjang Nasi Dagang Atas Tol 

Stop breakfast di kedai lain

Makan Nasi Hujan Panas di pagi hari

After breakfast, kalau dah tiba di Kuala Terengganu ini tak sah kan kalau tak pergi ke Pasar Payang so kami pun bergerak lah beramai-ramai ke sana. Tiba di kawasan Pasar Payang, jammed dan penuhnya orang maklumlah long weekend. So ada juga geng kami yang singgah dan 1 kereta terus ke Seberang Takir nak cari kerepok lekor sedap. Seberang Takir ini memang kampung En. Suami so memang tahulah kerepok sedap di mana dan memang selalu beli pun.


Tumpang lalu je depan Pasar Payang

Posing sikit depan London Bridge

Jom cross ke Seberang Takir

Kedai kepok best depan Sek. Ibrahim Fikri

Singgah Pasar Bt 6 shopping sikit


Keropok lekor dah dapat jom kita gerak terus ke Tasik Kenyir. Check in houseboat ini jam 3 petang, sebenarnya tak rushing pun sebab bot itu memang hanya kami sekeluarga pun, cukup korum boleh terus jalan. Sebelum tiba di jeti Tasik Kenyir, stop dulu di pekan Kuala Ping (lebih kurang 20 minit ke jeti) untuk beli air batu dan arang.

Sebelum masuk ke kawasan jeti kena melalui kastam dulu, rupanya Tasik Kenyir ini diwartakan sebagai kawasan bebas cukai rupanya...baru tau hehe..tiba di jeti penuhnya kereta yang parking, nasib baik houseboat kami Permata Kenyir jetinya di Gawi Point dan bukan di Dataran Kenyir, kalau tak memang sesak lah.

Ini dia houseboat kami

Ok kereta drop dulu dekat-dekat area bot, keluarkan barang-barang dan cari parking kosong. Parking kena bayar RM5 per night. Kemudian apa lagi sessi mengangkut segala barang lah naik ke houseboat. Barang-barang macam nak stay seminggu hehe...

Kawasan parking kereta di Gawi Point

Houseboat agak besar 2 tingkat, selesa dan bersih. Ada 2 bilik VIP (boleh muat 3 orang), 2 bilik dorm (boleh muat 12 orang), ruang solat, bilik karaoke, ruang makan, dapur dan 2 toilet. Memang macam rumah lah. Aircond takde ya..tapi ada kipas. Mula-mula agak panas sebab bot tak bergerak, lepas bot gerak terasa berangin dan cool je.

Jom naik houseboat

Dapur yang luas & lengkap

Ada 2 tandas di bahagian bawah

Bilik Karaoke

Bilik berdua/bertiga

Bilik Dorm

Ruang lepak / solat

Houseboat dah start gerak

Bila boleh terjun mandi ni?

Budak ni suka bergambar buat muka joker

Ada signboard di tengah-tengah tasik

Tenang je rasa

Selisih dengan houseboat lain

Kalau nak naik speedboat pusing-pusing tasik pun boleh

Nampak tunggul-tunggul pokok di tengah tasik

View sisi houseboat

Pelancong-pelancong dari Jepun

Chef yang dibawa khas

Houseboat bawa 1 speed boat & 1 bot panjang

Minum petang

Demo memancing

Ambik angin petang

Sessi sembang santai 3 generasi

Selepas 2 jam bot bergerak, kami tiba di Sg Lasir. Kawasan ini memang port houseboat berlabuh dan overnight. Banyak houseboat dah landing, time itu lebih kurang ada 10 biji. Aktiviti petang tu kami semua ke air terjun Sg Lasir, kena naik speedbot dalam 5 minit then sampai lah ke air terjun...so apa lagi mandi manda lah..dah dekat pukul 7 petang barulah balik ke houseboat semula.

Dari kejauhan dah nampak port untuk berlabuh

Banyak houseboat lain yang dah berlabuh

Ada air terjun, nak berkayak pun boleh

Port Sg Lasir tempat kami bermalam

Nampak ikan berenang-renang dalam air yang kehijauan

Sessi naik bot panjang

Houseboat kami yang dah berlabuh

Jom kita ke air terjun

Ok dah sampai air terjun

Kena panjat sikit hati-hati ya

Kawasan mandi yang luas yeah..

Ada jambatan gantung untuk yang tak gayat

Sessi bermandi-manda (view dari jambatan gantung)

Air terjun yang deras

Tengah tengok apa kat bawah tu?

Aktiviti malam pula lepas mandi dan solat, BBQ dan berkaraokelah. Kaki pancing pula stay up sampai pukul 3 pagi memancing. Last-last dapat seekor je ikan.

Sessi membakar

Jemput makan

Sessi memasang umpan

Sessi membaling pancing

Sessi test suara

Ok good night Tasik Kenyir, malam sejuk macam tidur dalam air cond. Masing- masing tidur dengan aman dan lena.


Day 3 : Tasik Kenyir - Gambang

Pagi subuh-subuh dah bangun, tenang je rasa. Pastu terus goreng mee dan nasi untuk breakfast. Yang lain berehat-rehat dan ada juga yang sambung memancing sambil tunggu masa untuk bergerak ke port yang lain.

Subuh yang tenang

Houseboat jiran sebelah view subuh

Houseboat jiran view pagi

Ada houseboat-houseboat lain yang dah mula bergerak

Atok dan cucu sambung memancing

Hasil tangkapan

Menu breakfast

Sessi sembang pagi


After breakfast, bot pun bergerak ke port ke 2 iaitu Sg Bauk. Tiba di Sg Bauk, masing-masing pun terjun tasik dan berenang ke air terjun Sg Bauk. Air terjun ini kecil sikit berbanding air terjun yang pertama semalam. Pagi-pagi mandi air terjun memang sejuk dan best juga mandi air tasik ini. Semalam tak sempat terjun tasik sebab habis masa di waterfall. Air tasik ini memang dalam, tempat bot berlabuh pun boleh sampai 30 meter.


Posing sikit di penjuru houseboat

Ala-ala Milford Sound NZ (boleh refer blog NZ)

Balik ada extra speedboat pula

Pucuk-pucuk pokok

Dah sampai port ke-2 air terjun

Berenang je ke air terjun

Jauh juga nak berenang tu

Kecil sikit kawasan air terjunnya

View dari air terjun - nampak houseboat

Houseboat di kejauhan

Top view photo from drone

Top view dari belakang pula


Selepas puas bermandi manda, kami naik ke bot semula dan bot pun bergerak ke Taman Herba. Sementara nak ke Taman Herba itu, kami bersiap-siap masak untuk lunch. Tiba di Taman Herba semua dah pengsan kepenatan bermandi manda tadi...

Taman Herba - tak larat nak explore

Lunch

Setelah selesai Taman Herba, bot pun bergerak balik ke jeti lebih kurang dalam 45 minit perjalanan. So kami pun siap-siap untuk check out. Tiba di jeti dalam jam 4 petang, selesai check out dari houseboat, kami pun bergerak ke Gambang Kuantan untuk berehat dan tidur untuk satu malam. Bye-bye Tasik Kenyir ada rezeki boleh datang lagi sebab memang best.

Sessi check out

Permata Kenyir ada 2 houseboat kalau ramai boleh ambil 2

Gambar kenangan peserta houseboat

Suasana Gawi Point

Sebelum gerak ke Gambang, kami stop sekejap di kedai bebas cukai Tasik Kenyir. Tak besar ada dua kedai je, 1 jual coklat dan 1 lagi jual pinggan mangkuk. Coklat pun banyak dah habis sebab MCO takde stock katanya.

Dataran Kenyir

Kedai Bebas Cukai

Kedai pinggan mangkuk

Kedai Coklat - banyak dah habis

Kami tiba di Gambang Resort World dalam jam 7 petang. Kami book villa Eviria 3 bilik melalui Agoda tapi check in di Arabian Court. Tiba di lobi ramai nya orang. Rupanya semuanya menunggu kunci bilik. Ada yang check in jam 3 petang pun masih tak dapat kunci lagi. Suasana havoc sikit tengok orang macam nak memgamuk. Sebab nak follow SOP sanitization Covid19 pihak hotel bagi kunci. So lepas check in sambil menunggu kunci kami pun pergi lah makan dulu, lagipun perut pun dah lapar.

Ramainya orang

Kami tak pergi makan jauh di Kuantan atau Tanjung Lumpur sebab mesti penuh orang punya so google apa yang best area Gambang jumpalah Nasi Kukus My Mama. Maka dinnerlah kami di sana dan food dia pun sedap.

Dinner di sini

Lepas makan, gerak semula ke Gambang Resort City dengan harapan kunci villa dah ready. Tiba di lobi, villa masih tak ready lagi so tunggulah dulu dalam kereta. Akhirnya dekat jam 10 malam barulah dapat kunci. Malam itu semua berehat setelah seharian kepenatan.

Day 3 : Gambang - Rumah sendiri

Pagi kami dapat complimentary breakfast dari pihak hotel sebab dapat kunci lambat malam tadi. Lepas breakfast plan nak singgah Temerloh teringin nak merasa patin yang best. Tanya kawan orang Temerloh dia kata patin yang best ialah Go' Bang Maju Patin so ke sanalah kita. Tiba di Temerloh perut masih kenyang so kita tapau jelah patin nanti makan di mana-mana. 

Kawasan homestay Gambang

Siap-siap untuk check out

Tapau patin di sini

Next destination ialah balik rumah masing-masing, ada di Melaka dan Johor, so kami waze lah jalan terpantas. Waze suruh ikut Temerloh - Bera - Jempol Alor Gajah. Alhamdullilah dalam jam 4 petang kami sampai di Melaka dan meeting point sebelum berpisah ialah restoran jejantas air keroh. Stop solat, makan patin dan balik ke rumah masing-masing.

Sekian percutian adhoc dan singkat ke Terengganu dah pengalaman menaiki houseboat Tasik Kenyir. Kesimpulannya memang experience yang menarik dan lain dari yang lain. Ada rezeki InshaAllah bole repeat lagi...jumpa lagi di cuti-cuti Malaysia tempat lain pula...

Cerita Tambahan
Seminggu selepas trip houseboat ini, kami sekali lagi ke Tasik Kenyir dengan famili En. Suami pula. Kali ini lebih meriah sebab ramai budak. So rasa tak perlu cerita panjang just belanja photo je untuk kenangan di sini. 

Houseboat yang sama penumpang yang berbeza

Kali ini naik ke Taman Herba

View dari Taman Herba

Sessi test minum air-air herba

Sessi mandi-manda

Meriah

Video budak-budak terjun tasik


Sekian perkongsian kali ini diharap membantu dan InshaAllah akan ke Tasik Kenyir lagi.